Thursday, May 5, 2011

Adakah Berlari Berkesan Untuk Kuruskan Badan?


Berlari atau jogging merupakan sejenis senaman kardiovaskular yang melibatkan penggunaan otot otot besar seperti peha, betis dan sebagainya dan juga mengakibatkan peningkatan pada kadar degupan jantung.
Berlari akan membantu menambah efisiensi sistem kardiovaskular, yang terdiri daripada jantung, darah dan juga pembuluh darah. Tidak dapat dinafikan, berlari akan membantu meningkatkan tahap kercergasan dan kecergasan, serta membantu mengekalkan kesihatan pada tahap yang optimum.
Dari segi aspek pengurusan berat badan, adakah berlari akan memberi kesan yang baik kepada mereka yang berusaha membakar lemak dan juga menurunkan berat badan?
Ok, sebagai permulaannya, aktiviti aktiviti seperti berlari memerlukan tenaga dan tenaga ini diperolehi daripada sumber pemakanan (yang ditukar kepada bentuk tenaga oleh fungsi badan). Bagi mereka yang obese atau yang mengalami masalah berat badan, apa yang diharapkan adalah dengan melakukan aktiviti berlari dan jogging, sumber tenaga akan diperolehi daripada pembakaran lemak yang berlebihan. Lemak lemak berlebihan ini disimpan dalam bahagian perut, paha, lengan dan juga dagu.
Secara teorinya, bahagian lemak yang dibakar akan mengecil dan akan mengurangkan lapisan lemak yang menyelaputi badan. Kesan daripada ini adalah pengurangan pada berat badan.
Walaubagaimanapun, ini tidak semestinya berlaku.
Bagi mereka yang kurang melakukan aktiviti aktiviti yang menguatkan otot (tidak semestinya pergi ke gim tetapi cukup sekadar mengangkat bebadan sederhana berat seperti dumbbell dan sebagainya. Aktiviti aktiviti ini boleh dilakukan di rumah), senaman berlari yang berterusan akan menyebabkan sistem badan beralih kepada otot (yang lemah) untuk sumber tenaga kerana proses menguraikan otot yang lemah ini lebih mudah.
Otot mempunyai sumber protein yang penting kepada proses metabolisme, yang berfungsi untuk membaiki dan membaik pulih sel sel dalam badan. Protein dalam otot, jika diuraikan kepada bentuk tenaga, akan mengakibatkan otot badan mengecil dan seterusnya menurunkan kadar metobolisme. Kesan negatif akan muncul kerana dengan menurunnya kadar metabolisme, keupayaan badan untuk membakar lemak akan terbantut.
Selain daripada itu, salah satu fenomena yang dilihat oleh mereka yang melakukan aktiviti jogging atau aktiviti aktiviti kardiovaskular yang lain adalah, mereka mengalami kehilangan berat apabila melakukan senaman tersebut secara berterusan, tetapi apabila mereka berhenti daripada melakukannya, berat badan mereka mula naik semula.. Malah, ada yang mengalami kenaikan berat badan yang mendadak sehingga mendapat berat baru yang lebih teruk daripada yang sebelumnya.
Ada dua penyebab kepada fenomena ini. Yang pertamanya adalah seperti yang diterangkan sebelum ini, iaitu disebabkan kehilangan otot yang seterusnya menurunkan kadar metabolisme.
Sebab yang kedua adalah, ‘berat badan’ yang hilang itu adalah air, iaitu komponen penting dalam badan dan bukannya lemak sepertimana yang disangkakan. Penting untuk mengetahui bahawa air adalah elemen penting yang berfungsi membekalkan oksigen dalam proses metabolisme dan juga pembakaran lemak.
Jadi, apakah penyelesaiannya bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan?
Pertama sekali, perlindungan yang secukupnya perlu diberi kepada sel sel otot dengan melakukan senaman senaman berkaitan yang menguatkan otot. Jika menyertai kelab sukan atau gimnasium merupakan pilihan yang mahal, buat sedikit pelaburan untuk membeli sepasang dumbbell, dan juga bangku latihan (bench) yang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti senaman otot. Semua ini boleh didapati pada harga kurang RM500.
Dengan menambahkan dan menguatkan sel sel otot, anda akan mengurangkan kecenderungan badan untuk menguraikan protein di dalam otot sebagai sumber tenaga, tetapi sebaliknya akan membakar lebihan lemak yang tersimpan di perut, paha, bahu, lengan dan sebagainya. Anda akan meletakkan diri anda pada landasan yang betul untuk menyelesaikan masalah berat badan.
Selain daripada itu, senaman otot akan menambahkan sel sel otot yang seterusnya meningkatkan kadar metabolisme. Kajian mendapati bahawa penambahan berat otot sebanyak 0.5 kg akan membantu badan membakar lebihan kalori sebanyak 50 kalori sehari.
Ingat, proses metabolisme ini berlaku sepanjang masa tidak kiralah waktu anda sedang tidur, makan, rehat, menonton wayang atau bekerja. Yang membezakan hanya kadar kelajuan sahaja. Jika anda berjaya meningkatkan kada metabolisme badan, dengan mengawal pemakanan anda dan latihan yang berterusan, percayalah, usaha anda untuk melihat berat badan yang baru akan membuahkan hasil.


No comments: